Langkau ke kandungan utama

10 TIPS BINA PERSONAL BRANDING BISNES KECIL DI FACEBOOK

 10 TIPS BINA PERSONAL BRANDING BISNES KECIL DI FACEBOOK


1. Sebagai usahawan, kitalah duta bisnes kecil kita. Pelanggan menilai nama kita sama seperti nama bisnes kita. Maka, pastikan nama kita sentiasa baik pada mata pelanggan.


2. Gunakan nama penuh dan gambar sebenar di profil Facebook peribadi kita. Orang lebih percaya. Pelanggan suka berurusan dengan orang yang mereka kenali dan percayai.


3. Fikir yang baik-baik, bercakap yang baik-baik dan tulis yang baik-baik di Facebook kita. Pelanggan suka berurusan dengan usahawan yang baik-baik.


4. Usah kata "Ini Facebook aku, ikut suka akulah nak tulis apa pun." Apabila usahawan ber-Facebook, kita berusaha membina persepsi positif kepada jenama diri dan bisnes kita. Dari persepsi baik ini, kita buat jualan.


5. Elakkan mengkritik, menegur atau bercakap mengenai pelanggan sama ada secara langsung atau berkias di Facebook. Usah perli mereka. Pelanggan tak suka. Bakal pelanggan tak suka. Kalau kita berterusan buat begitu, orang lari dari bisnes kita.


6. Pelihara privasi pelanggan. Usah upload gambar rumah, kereta, nama atau gambar pelanggan sebelum meminta izin mereka. Kalau boleh, mintalah izin bertulis, sekurang-kurangnya melalui WhatsApp.


7. Sekiranya pelanggan mengkritik kita secara terbuka di Facebook, usah berbalah. Elok berbincang dengan dia di luar media sosial. Bakal pelanggan tak suka berurusan dengan usahawan yang dilihat suka bertelingkah. Kalah berbalah di Facebook tak mengapa, asalkan kita boleh buat jualan dan dapat pembeli.


8. Gunakan panggilan yang baik di media sosial, walaupun dengan kawan rapat. Contoh, gunakan panggilan Tuan atau Puan. Saudara atau Saudari. Elakkan ber-awak atau ber-you dengan orang yang lebih tua dari kita.


9. Orang yang menulis menggunakan ejaan penuh dengan tatabahasa yang betul kelihatan lebih pandai berbanding org yg menulis scr rngkas. Awk fhm tk?


10. Buat posting yang orang suka baca dan suka share di media sosial. Tulisan yang pelanggan share lebih bernilai berbanding iklan berbayar. 82% pengguna beli apa yang kawan-kawan mereka cadangkan.


- Norizan Bin Sharif


Ulasan