Hari ini, 7 Ogos 2025.
Sudah 25 tahun Abah meninggalkan kami sekeluarga. Satu kehilangan yang sehingga hari ini masih tersemat dalam jiwa, walaupun masa terus berlalu.
Saya masih ingat detik pagi 7 Ogos 2000… Hari itu hari gaji saya. Waktu itu saya baru berusia 19 tahun.
Dengan duit gaji yang baru masuk, saya gagahkan diri berjalan kaki seorang diri dari Hospital Kota Tinggi ke Bank Barisan Nasional. Perjalanan yang agak jauh, namun demi kelangsungan hidup adik-adik, saya kuatkan langkah dan kuatkan hati.
Selepas selesai keluarkan duit, saya terus kembali ke hospital dan belikan makanan untuk adik-adik. Mereka makan dengan lahap, dan hati saya rasa sedikit lega melihat mereka kenyang.
Waktu itu, Abah sempat bertanya:
“Mana Kak Ngah?”
Mak jawab, “Kak Ngah pergi bank untuk keluarkan duit.”
Tak lama selepas itu, kami semua dipanggil. Saya lihat ada seorang ustaz sedang memegang kaki Abah. Dalam sekelip mata, Abah pergi tinggalkan kami buat selama-lamanya.
Saya tidak menangis ketika itu. Saya memang tidak biasa menangis di hadapan orang. Sedih itu saya simpan dalam hati, dan waktu itu saya cuma fikir bagaimana nak kuatkan semangat adik-adik. Saya peluk mereka, pujuk mereka… sedangkan hati sendiri sedang berkecai.
Hidup tanpa Abah bukan mudah. Tapi saya belajar untuk redha. Saya belajar untuk kuat.
Hari ini, selepas 25 tahun… air mata itu tetap mengalir. Namun hati saya tetap mendoakan Abah. Setiap kali lepas solat, saya tidak pernah lupa untuk hadiahkan doa dan Al-Fatihah buat insan yang saya rindu setiap hari.
Ya Allah, tempatkan Abahku, Haji Abdul Hamid bin Haji Hassan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Aamiinn Ya Rabb.
Al-Fatihah… 🤲🏼
Ulasan