Langkau ke kandungan utama

Anak Saya Pilih Berhenti Main Game – Apa yang Saya Belajar Dari Al-Quran Tentang Kawalan Diri

Pagi itu, ketika saya keluar dari bilik untuk menghantar anak ke sekolah, tiba-tiba anak saya yang berusia 16 tahun berkata:

“Mama, I don’t want to play games anymore. If you see me playing, I’ll pay you money.”

Saya terpinga-pinga. Selama ini saya tidak pernah melarangnya bermain game. Sekadar menegur jika terlalu lama. Lagipun, masa bermainnya hanya sekitar 1 jam x 2 sesi sahaja. Dia tetap rajin belajar, aktif bersukan, dan membantu kerja rumah.

Saya peluk dia. Pelukan itu tanda saya sokong keputusannya, walaupun dalam hati penuh dengan persoalan.

Kemudian dia menyambung:

“It’s a waste of time. Why should I waste my time doing something that has no purpose at all?”

Saya mendengar saja, cuba aktifkan diri sebagai seorang life coach, bukan sekadar ibu. Bila saya tanya, dia jawab:

“I was merely killing my time.”

Rupanya, dia terinspirasi selepas menonton video YouTube bertajuk “30 days without my phone changed my brain” oleh Andrew Feinstein. Dia mahu cuba 30 hari tanpa game.

Bila saya tanya, “Nak ganti dengan apa?” Dia dengan yakin jawab:

“I’ve lots of important things to do. Drawing, reading, hafal al-Quran, sports... lots more.”

Dan Subhanallah, dari hari itu hingga kini, dia memang langsung tidak menyentuh game. Allah permudahkan.


Apa Hubungannya Dengan Al-Quran?

Cerita anak saya ini membuat saya berfikir. Dalam Islam, kita diajar bahawa ketagihan tidak boleh dihentikan secara paksa serta-merta. Ada proses berperingkat.

Allah telah tunjukkan contohnya melalui kisah larangan arak dalam Al-Quran. Arak tidak diharamkan sekaligus, tetapi melalui 4 fasa pengajaran:

Fasa 1 – Pengenalan (An-Nahl: 67)

Allah tunjukkan bahawa dari buah kurma dan anggur, manusia buat 2 jenis hasil:

  • minuman yang memabukkan,

  • dan rezeki yang baik.

Di sini, Allah ajak kita berfikir dan mengenal.

Fasa 2 – Timbangan (Al-Baqarah: 219)

Allah jelaskan bahawa walaupun ada manfaat arak (hiburan, ekonomi), tetapi mudaratnya pada akhlak dan spiritual lebih besar.

Fasa 3 – Batasan (An-Nisa: 43)

Allah larang mendekati solat ketika mabuk. Maksud mabuk di sini bukan hanya arak, tapi keadaan hilang kawalan diri kerana sesuatu – sama ada emosi, nafsu, atau ketagihan.

Fasa 4 – Larangan (Al-Maidah: 90-91)

Akhirnya, setelah iman umat semakin kuat, Allah perintahkan supaya arak ditinggalkan sepenuhnya.


Analogi Untuk Ketagihan Game & Smartphone

Game pada dasarnya tidak salah. Sama seperti telefon pintar, ia hanya alat. Tapi jika berlebihan, ia boleh menutup akal, melalaikan tanggungjawab, bahkan solat pun boleh terabai.

Di sinilah pentingnya kawalan diri.

  1. Tingkatkan iman kepada Allah.

  2. Kurangkan secara berperingkat.

  3. Ganti dengan aktiviti lain yang lebih bermanfaat.


Penutup

Saya bersyukur kerana anak sendiri yang minta saya kongsikan kisah ini. Moga ada manfaat buat orang lain juga.

Setiap ketagihan ada jalan keluarnya. Al-Quran sudah beri panduan. Tinggal kita mahu ikut atau tidak.

👉 Jadi, bagaimana dengan anda?
Apa contoh ketagihan yang anda rasa perlu dikawal dalam hidup ini?



#tadabbur #quraniclifestyle #ketagihan #selfcontrol #quranicwisdom



Ulasan